Rapatkan jurang digital luar bandar: Projek SMART600 perkasa kesalinhubungan Sarawak dengan sokongan MCMC

You are currently viewing Rapatkan jurang digital luar bandar: Projek SMART600 perkasa kesalinhubungan Sarawak dengan sokongan MCMC

CYBERJAYA, 9 JULAI 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) membuktikan komitmen bagi mempercepatkan kesalinghubungan digital yang inklusif menerusi pelaksanaan Projek SMART600, satu inisiatif berimpak tinggi dalam mengubah landskap digital luar bandar Sarawak.

Kolaborasi MCMC dengan SDEC untuk projek SMART600 dizahirkan menerusi satu majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya hari ini. Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Pengerusi MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din dengan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman.

Pelaksanaan Projek SMART600 membuktikan komitmen Kerajaan dalam memacu inisiatif ini ke hadapan dan seterusnya memberi manfaat kepada komuniti luar bandar di Sarawak serta menyokong keperluan aktiviti seharian mereka seperti keperluan pendidikan, telekesihatan, aktiviti ekonomi digital dan komunikasi harian.

Di bawah Projek SMART600 ini, sebanyak 600 menara komunikasi baharu disasarkan akan dibina di Sarawak dalam dua (2) fasa iaitu sebanyak 300 menara untuk setiap fasa. Menara-menara baharu ini akan menyediakan perkhidmatan mudah alih 4G yang berkualiti tinggi kepada lebih 1,000 lokasi luar bandar dan dijangka memanfaatkan lebih kurang 180,000 komuniti di Sarawak seperti di Belaga, Marudi, Sungai Belawai, Kapit dan Sungai Encheremin sekali gus merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dengan pedalaman.

Setakat ini, 587 menara telah pun siap dibina. Daripada jumlah tersebut, 431 menara telah diaktifkan atau “on-air” dengan teknologi canggih Multi-Operator Core Network (MOCN) dan selebihnya akan diaktifkan secara berperingkat.

Selain itu, akses kepada Internet berkelajuan tinggi akan dipertingkatkan bagi menyokong aplikasi yang memerlukan penggunaan data yang tinggi seperti penggunaan aplikasi kecerdasan buatan, penstriman video, perkhidmatan awam dan Internet of Things (IoT). Pengguna juga mempunyai pilihan yang lebih banyak sehingga lima (5) syarikat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) di bawah kelolaan MCMC, dan perkhidmatan jalur lebar Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) yang dikendalikan oleh Kerajaan Sarawak di mana semua perkhidmatan ini berkongsi infrastruktur dan spektrum melalui susunan MOCN. Kejayaan ini juga turut didorong oleh kerjasama yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.

Dengan memperkasakan kesalinghubungan luar bandar, Projek SMART600 turut merealisasikan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 bagi menggalakkan aktiviti ekonomi digital dan menaik taraf sosioekonomi rakyat Sarawak serta memastikan tiada rakyat yang tercicir.

Kerajaan Sarawak, melalui SDEC selaku peneraju pelaksanaan inisiatif ini akan membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) yang diperlukan untuk pembinaan menara tersebut. Bagi memastikan kelestarian jangka panjang, MCMC yang mewakili Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications) terlibat bagi membiayai perbelanjaan operasi (OPEX). Model pembiayaan bersama ini memastikan menara-menara di kawasan pedalaman Sarawak dapat terus beroperasi walaupun berdepan dengan cabaran geografi dan ekonomi.

Hadir sama bagi menyaksikan majlis ini ialah Pengerusi SDEC, YBhg. Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani, serta para pegawai dari MCMC dan SDEC.