SIBU: Sibu Digital Innovation Hub (SDIH) menjadi hab digital pertama di Sarawak yang akan menyediakan perkhidmatan sewaan perkakasan digital seperti komputer berkuasa tinggi, kamera dan peralatan audio yang terkini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Sudarnoto Osman berkata, perkhidmatan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti dan kualiti hasil kerja oleh golongan kreatif digital dan juga pengaturcaraan di Sibu dari sudut reka bentuk grafik, penghasilan aplikasi dan sebagainya.
“Sibu Digital Innovation Hub juga menganjurkan pelbagai program yang bertemakan inovasi, perusahaan digital dan pembangunan bakat kendiri dalam bidang teknologi digital.
“Selain itu, terdapat pelbagai peluang untuk mengembangkan perniagaan konvensional dengan menerusi peralatan dan teknologi digital di SDIH ini,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian SDIH dan SDeCLOUD yang dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Rabu.
Menurut Sudarnoto, sejumlah 80 program latihan, bengkel, kursus, seminar dan sebagainya telah dilaksanakan SDIH dan dihadiri 3,822 peserta daripada pelbagai latar belakang.
“Kami mengalu alukan penyertaan daripada seluruh masyarakat di Sibu, terutama sekali sekiranya anda mempunyai idea yang inovatif dan mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai sebuah syarikat pemula,” katanya.
SDIH yang terletak di Jalan Kuda, Kampung Nangka turut mempunyai kemudahan yang sama dengan hab digital yang lain di seluruh Sarawak termasuklah ruang seminar, ruang perbincangan dan untuk syarikat pemula juga terdapat ruang bekerja secara bersama atau ruang pejabat persendirian.
“Aspirasi kami adalah untuk menjadikan SDIH sebagai perantaraan antara pusat inovasi dan digital ekonomi termasuklah Digital Community Centre (DCC) serta Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di sekitar bahagian Sibu ini.
“Program dan kolaboratif antara agensi bakal merancakkan lagi perkembangan ekonomi digital setempat.
“SDIH juga akan menjadi nadi penghubung dan pencetus inovasi di Sibu,” ujarnya sambil menambah operasi SDIH dikendalikan Caliphs Digital Group Sdn Bhd.
Dalam pada itu menurut Sudarnoto, bagi menggalakkan pendigitalan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selaras dengan Sarawak Digital Economy Strategy 2018-2022, SDEC akan memperkenal pakej SDeCLOUD untuk pelbagai perniagaan yang ingin berkembang dan melangkah ke alam digital.
“SDeCloud adalah servis perkomputeran awan awam pertama yang bertapak di Sarawak di mana data pengguna dikekalkan di Sarawak dan kedaulatan data dipelihara,” jelasnya.